Wednesday, January 7, 2009

Mari Belajar Berfikir


Merupakan ini adalah post saya yang pertama di blog ini, maka saya rasakan ada eloknya topik ini dibincangkan sebagai topik permulaan agar anda mendapat ransangan yang secukupnya untuk membaca dan menelaah posting saya yang seterusnya.

Maka, kenapa kita harus belajar berfikir?

Aktiviti berfikir bukanlah hanya untuk ahli falsafah dan sasterawan negara. Ramai yang memandang aktiviti berfikir sebagai perkara remeh temeh dan tidak perlu diambil tahu. Mengapa? Sebab mereka merasakan berfikir itu mudah. Adalah begitu mudah untuk memikirkan bagaimana hendak berjalan dari rumah anda ke rumah teman anda. Untuk berfikir bagaimana untuk menyelesaikan operasi tolak campur pun bukanlah sesuatu yang payah. Ilmu dan pengalaman yang dikutip dari sekolah dan universiti nampaknya begitu berguna dan hebat sekali untuk memikirkan apa yang baik dan buruk, apa yang patut dan apa yang tidak patut, apa yang benar dan apa yang salah! Jadi, kenapa mahu belajar berfikir? Apa perlunya?

Apa yang saya maksudkan dengan belajar berfikir di sini ialah belajar kaedah dan cara berfikir dengan betul agar kehidupan anda lebih BERMAKNA, lebih PRODUKTIF dan lebih HARMONI. Ini bukan bermakna selama ini anda telah berfikir lalu membuat keputusan yang salah. Namun boleh jadi anda tidak berfikir dan membuat keputusan dengan tepat. Kaedah anda untuk penyelesaian masalah juga boleh jadi kurang berkesan.

Dengan belajar berfikir, anda didedahkan dengan PRINSIP-PRINSIP berfikir yang betul. Pendedahan ini akan menjadikan anda mula sedar bahawa pengalaman lalu bukanlah semestinya guru yang terbaik untuk anda, apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda dan yang paling penting, anda mula sedar bahawa terdapat tembok-tembok penghalang di dalam pemikiran anda untuk anda menjadi seorang yang lebih bagus dan luar biasa.

Cari tembok tersebut dan pecahkan ia... belajarlah kaedah berfikir yang betul dan lebih efektif.


0 comments:

Post a Comment

 

Strategi Cemerlang. Copyright 2008 Hakcipta Terpelihara